KOPI YANG TERBAIK IALAH KOPI YANG BERKHASIAT
Secawan kopi yang anda minum pada hari ini telah melalui pelbagai peringkat sebelum ianya anda dapat menikmatinya. Bermula dari biji kopi dari spesis pokok terbaik, tumbuh subur ditanam di dataran tinggi. Akar pokok itu akan menjalar ke dalam tanah untuk menyerap nutrient berkualiti dan hidup segar, dengan daun hijau yang lebat, mengeluarkan bunga dan berbuah menghasilkan buah kopi yang mulanya berwarna hijau dan bertukar menjadi warna merah jambu dan akhirnya merah.
Buah kopi pada pokok tidak masak secara serentak, ia memerlukan tangan yang sabar mengutip sebiji demi sebiji agar buah yang masak elok sahaja dipetik sementara buah yang hijau akan dikutip sebaik masak berikutnya. Buah-buah kopi ini digred dan diproses segera agar kualiti kopi yang anda nikmati itu benar-benar berkualiti. Dengan menggunakan mesin buah kopi akan dimesin untuk memisahkan kulit dan mengeluarkan biji-biji kopi.
Biji-biji kopi ini akan dijemur hingga ke tahap peratusan air yang dikehendaki. Biji yang rosak dan tidak berkualiti akan dibuang dan tinggallah biji-biji kopi yang benar-benar berkualiti. Biji kopi yang tersedia kering ini dikenali sebagai kopi beras atau biji kopi mentah.
Daripada biji-biji kopi mentah inilah, diproses untuk menghasilkan minuman kopi yang menyegarkan. Cara pemerosesan kopi adalah sangat mustahak kerana peminum kopi semestinya dapat meminum kopi yang benar-benar berkhasiat. Pelbagai usaha dan begitu banyak tenaga yang telah dicurahkan oleh mereka yang terlibat dalam memastikan biji kopi yang terbaik dihasilkan.
Malangnya, masih ramai yang minum sebenarnya tanpa sedari hanyalah mencari kemanisan bukan tertumpu kepada khasiat kopi sebenarnya. Kopi terbaik ialah pada cara biji kopi dipanggang dan bukannya pada biji kopi yang telah menjadi arang. Adakalanya kita rasa berbangga dengan sentuhan tradisi orang-orang tua kita dalam menghasilkan kopi yang sedap tetapi janganlah pula kita meneruskan kesilapan itu sebagai budaya kita.
No comments:
Post a Comment