Pages

Friday, November 30, 2018

Seharum Aroma Kopi


Perkataan kopi atau coffee berasal daripada kalimat kahwah. Manakala perkataan kahwah pula berkemungkinan berasal daripada Kafa, iaitu nama satu tempat di Habsyah. Di sinilah biji-biji kopi mula dimasak dan dijadikan minuman.

Sekitar abad ke-9 hingga ke-12, pedagang dari Yemen telah membawa biji-biji kopi dari Kafa ke Tanah Arab. Nama biji-biji kopi ini telah melalui perubahan, dari kahwah dan akhirnya hari ini ianya dikenali sebagai coffee atau kopi.

Tuesday, November 27, 2018

Telur, Kicap dan Lada Sulah




Telur Separuh Masak Sempurna



Sesekali mendapat telur seperuh masak yang dibuat sempurna. Ooooouuuh, sungguh teramat gembira rasanya.

Cara untuk buat telur masak sempurna ni mudah aja. Mula-mula masak air separas telur akan dapat tenggelam. Jangan bubuh telur lagi. Telur tak masuk cerita lagi. Jerang air dulu,  masak air hingga mendidih. Mengelegak, bonda saya kata. Lepas tu tutup api. Ambil telur ayam, bubuh dalam periuk, tunggu guna pemasa ... ngam-ngam 6 minit. Angkat telur dari air panas tu. Cantik.

Saturday, November 24, 2018

Produk Berasaskan Kopi

1.   Serbuk Kopi
2.   Biskut Kopi
3.   Aiskrim Kopi
4.   Minuman
5.   Gula-gula Kopi

Kami ada memasarkan serbuk kopi dan produk-produk kopi ini akan dibuat atas tempahan pelanggan.

Sunday, November 18, 2018

QAHVA ENTERPRISE

Founder QAHVA ENTERPRISE ialah HARUN BIN HASSAN. 

Ejaan QAHVA dipilih kerana mengambil sebutan "kahwa" oleh orang-orang tua di Terengganu merujuk kepada kopi, serbuk kopi atau air kopi, ironinya biji kopi disebut "kopi butir" dan tidak pula disebut biji kawa atau butir kahwa.

Minat untuk membuat kopi telah bermula sejak kecil lagi. Sejarah pembuatan kopi untuk kegunaan keluarga telahpun dimulakan oleh arwah nenek yang mempelajari secara pembuatan terus daripada bapanya iaitu moyang saya yang bernama Tun Yunus Tun Maimunah yang berasal dari negeri Pahang dan tinggal menetap di Pasir Nering, Terengganu dan berpindah ke Kuala Terengganu dan menetap di tepi Bukit Keledang sebelum diambil oleh kerajaan untuk dijadikan pejabat JKR, manakala bekas tapak rumah moyang kami pula dijadikan setor JKR yang pertama, keluarga moyang kami berpindah ke Pulau Kambing, mereka menetap di sana sehingga akhir hayatnya.

Minuman kopi adalah minuman utama keluarga selain daripada  minuman teh, Arwah Neneklah yang akan membuat bancuhan kopi yang sempurna untuk diminum oleh datuk dan keluarga. Saya cukup gemar meminum kopi panas sambil mencicah dengan biscuit cream cracker. Apabila bekalan serbuk kopi yang dibuat telah hampir habis, Nenek akan memaklumkan kepada datuk untuk membelikan biji kopi. Datuk yang dikenali dengan nama ringkas Haji Ismail, bekerja sebagai peraih ikan di Pasar Kedai Payang akan membawa biji kopi apabila pulang pada hari berikutnya.

Sementara menantikan biji kopi pulang, nenek akan masuk ke dalam bangsal kerja dan membuat penyediaan barang-barang yang akan digunakan, seperti membersihkan kawah, lesung dan alu, menyediakan tungku dapur, mengumpul kayu api secukupnya.

Apabila cuaca elok, hari panas, nenek akan membasuh biji-biji kopi dengan mengasingkan sisa sisa kotoran dan membersihkannya dengan melakukannya menggunakan air dan dibilas berulang kali, agar biji kopi yang diguna nanti akan benar-benar bersih. Biji-biji kopi yang basah itu akan disidai dan dijemur di tempat panas dan dibalik-balik bagi memastikan biji kopi tersebut kering pada hari yang sama, ini untuk  mengelakkan pertumbuhan kulat yang akan merosakkan rasa dan aroma mutu kopi yang dihasilkan nanti.

Nenek jarang membuat kopi pada ketika cuaca yang tidak panas tetapi akan membuatnya juga pada masa musim tengkujuh dengan terus menggunakan kawah kopi, biji-biji kopi itu disangai sehingga kering sehingga sesuai untuk dimasak dan dijadikan serbuk kopi.

Pembuatan biji kopi akan bermula dengan makluman daripada nenek, bekalan biji oleh datuk, kerja-kerja pembersihan biji, pembuatan kopi; di dalam bangsal kerja nenek, nenek akan menggoreng biji kopi di dalam kawah menggunakan kayu api sehingga kawasan kejiranan rumah kami akan berbau kopi yang semerbak wangi itu.

Sebagaimana lazim, tanpa makluman awal daripada nenek kepada nenek-nenek saudara yang tinggal berdekatan. Tetapi bau semerbak kopi itu telah memanggil mereka untuk turun ke bangsal kopi nenek untuk turut membantu. Antara kerja yang dilakukan ialah turut menggoreng, menambah atau mengurangi kayu api bagi memastikan nyalaan api yang bersesuian. Setelah kopi masak, kopi-kopi yang melekat itu akan disidai diatas tikar mengkuang, tikar itu telahpun diletak di atas bangku lebar dan panjang atau seperti meja rendah. Setelah ketulan kopi melekat itu sejuk. Nenek saudara yang lain pula akan mengetuk bagi memisahkannya kepada ketulan-ketulan yang lebih kecil supaya mudah dimasukkan ke dalam lesung kayu.

Saya melihat nenek-nenek saudara sangat gemar memakan terus serpihan kopi sehingga nampak gigi yang kehitaman apabila mereka tersenyum. Dalam melaksanakan kerja mereka bercakap bercerita disusuli gelak ketawa. Sambil tangan-tangan mereka terus membuat kerja, ada tugas masing-masing yang mereka lakukan, menjadikan ianya suatu momen menarik yang sukar untuk saya lupakan. Sesekali mereka menghirup kopi yang telah awal disediakan seteko oleh nenek dengan sedikit juadah satu atau dua seperti goreng pisang, keropok, jejemput, ketupat atau pulut lepa.

Ketika kerja-kerja menumbuk kopi dilaksanakan, satu lesung dengan berberapa alu, mereka membuatnya dengan cara yang bergilir, dengan satu tempo yang harmoni. Bunyi ayakan sebagai penapis yang dibuat ketika mengasingkan serbuk kopi yang belum hancur menjadikan petang itu sangat indah. Biji-biji kopi yang tidak terlepas penapis kerana masih kasar akan dimasukkan semula ke dalam lesung kayu. Kerja yang berulang itu dilakukan dengan baik sehinggalah tiada lagi butiran kasar kopi akhirnya.

Membahagi hasilnya, serbuk kopi yang dibuat itu dibahagi kepada 5 bahagian tanpa lebih tanpa kurang. Setiap nenek saudara mendapat hasil akhir yang sama. Di sinilah membuat saya kagum kepada nenek saya, meskipun datuk saya yang membeli segala keperluan bahan mentah untuk membuat serbuk kopi dan nenek saya banyak melakukan perkerjaan awal hingga akhir bahkan penyediaan kudapan pun sanggup nenek buat, pembahagian serbuk kopi itu dibuat tanpa lebih atau mengurangi bahagian nenek yang lain.

Walau apa pun, yang pastinya serbuk kopi yang dibuat oleh nenek mempunyai rasa yang sangat sedap. Aroma, kehitaman air dan keseimbangan rasanya memang menawan hati dan selera. Keharuman yang dirasai.